Tuesday 28 August 2012

1,378 Flat, Pangsapuri dan Kondominium Tidak Nikmati Air Percuma



Shah Alam, 28 Ogos– Sebanyak 1,378  kawasan rumah pangsapuri dan kondominium tidak pernah menikmati 20 meter padu air percuma seperti dijanjikan oleh Kerajaan Negeri dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 lalu.

Jesteru, Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) menuntut kerajaan negeri Selangor untuk menunaikan janji pilihan raya dengan memberi pampasan kepada isi rumah yang tidak terima air percuma seperti yang dijanjikan ini.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, jumlah tersebut diperoleh hasil daripada aduan dikemukakan oleh rakyat dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) setakat ini.

“Jumlah tersebut melibatkan kira-kira sebanyak lebih RM300juta kerana Kerajaan Negeri berhutang tunggakan selama 50 bulan sejak PRU12.

“Petaling Jaya merupakan kawasan paling banyak iaitu sebanyak 479 kawasan tidak dapat menikmati subsidi air percuma dijanjikan Kerajaan Negeri diikuti dengan Gombak (462) dan Klang (273).

“Sepatutnya setiap rakyat menerima 20 meter padu setiap bulan seperti dijanjikan atau bersamaan dengan RM11.40,” katanya pada sidang media di pejabat GPRS di Seksyen 19 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad yang menyatakan buat masa ini Kerajaan Negeri tidak akan membayar tunggakan kepada mereka yang tidak menikmati air percuma itu. selain menyalahkan pengguna kerana tidak menukar meter pukal.

“Ini adalah kenyataan dangkal pemimpin pakatan pembangkang yang tidak memikirkan masalah pengguna di flat kos rendah dan apartment yang kebanyakannya berpendapatan kecil. Kegagalan memberikan air percuma secara adil kepada rakyat menunjukkan pakatan pembangkang ketika berjanji pada pilihan raya umum yang lalu, tidak membuat kajian secara menyeluruh,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Selayang.

Tambahnya, sebagai rakyat wajar mereka menikmati dasar air percuma dijanjikan oleh Kerajaan Negeri. Malah berdasarkan manifesto tersebut juga jelas menyatakan bahawa semua penduduk di negeri ini layak menerima air percuma dan tidak dinyatakan meter pukal atau sebaliknya tidak layak menerima.

Beliau turut membidas Kerajaan Negeri yang didakwa menjadikan masalah meter pukal sebagai alasan mengapa rakyat tidak dapat menikmati dasar air percuma tersebut.

“Semua rakyat yang memegang akaun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sepatutnya menikmati janji tersebut kerana tidak dinyatakan meter pukal tidak layak atau sebagainya.

“Memandangkan mereka yang menggunakan meter pukal tidak dapat menikmati air percuma itu maka wajarlah Kerajaan Negeri membayar tunggakan kepada rakyat. Mana perginya wang lebih RM300juta itu?,” katanya.

Sohaimi berkata, beliau telah mendapat nasihat peguam berhubung perkara tersebut dan difahamkan terdapat klausa tertentu yang membolehkan rakyat untuk menuntut hak mereka.

Katanya, beliau turut melancarkan laman blog  www.hasrat-selangor.blogspot.com untuk dilayari rakyat yang mempunyai sebarang masalah berhubung air.

“Kita akan menyediakan khidmat guaman percuma untuk membantu rakyat berhubung perkara ini demi mendapatkan kembali hak mereka. Malah mereka boleh buat sebarang aduan atau maklumat di laman tersebut di mana kita akan kemaskinikan semua perkara menerusi blog tersebut,” katanya.

Sohaimi berkata, beliau mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memberi respon dalam masa terdekat berhubung isu ini.

Katanya, beliau menyeru rakyat negeri ini untuk sama-sama bangkit kerana banyak janji yang dibuat didakwa tidak ditunaikan oleh Kerajaan Negeri

“Kita mahu Kerajaan Negeri bertindak dalam masa terdekat ini bagi menangani masalah ini. Rakyat juga perlu sedar ini janji bertulis yang dibuat oleh Kerajaan Negeri pada semua rakyat tapi tak dapat dilaksanakan,” katanya.

Residents Of Flats, Apartments & Condominiums Are Neglected !!!


Penghuni pangsapuri tuntut janji air percuma Selangor



PETALING JAYA, 26 Ogos – Selepas empat tahun mentadbir Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) didakwa gagal menepati janji untuk memberikan air percuma kepada penduduk yang menggunakan meter pukal seperti flat kos rendah dan pangsapuri.

Semalam, satu demonstrasi secara aman yang dilakukan oleh penduduk di Pangsapuri Mentari Court sebagai manifestasi rasa tidak puas hati terhadap sikap tidak prihatin Kerajaan Selangor dalam pelaksanaan pemberian air percuma.

Selain itu, mereka turut mendesak Kerajaan Negeri membayar tunggakan untuk tempoh 50 bulan sejak Ogos 2008 sehingga September 2012 sebanyak RM570 dalam tempoh seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama (JMB), Kamarul Azman Kamarudin berkata, pada pilihan raya umum yang lalu, pakatan pembangkang yang diwakili PKR, Pas dan DAP melalui slogan Negeri Berkebajikan’ telah berjanji memberi air percuma kepada rakyat sekiranya berjaya memegang tampuk pemerintahan negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri  sepatutnya membayar hutang bagi tempoh kira-kira 50 bulan sejak skim itu dilaksanakan, dianggarkan berjumlah RM570 kepada setiap isi rumah yang menggunakan meter pukal.

"Malangnya  selepas diberi mandat, mereka lupa janji. Pelaksanaan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu atau subsidi RM11.40 hanya sekadar melepaskan ‘batuk di tangga’," katanya pada sidang media.

Beliau berkata, air percuma hanya dinikmati pengguna yang menggunakan meter individu.

Katanya, penduduk juga telah beberapa kali menuntut Kerajaan Negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menukar meter pukal kepada meter individu namun pelbagai ‘alasan’ telah diterima.

"Sebagai rakyat atau pengguna, kami berasa amat dukacita atas sikap kerajaan negeri Selangor yang tidak mempedulikan kepentingan dan nasib penghuni pangsapuri yang  kebanyakannya kurang berkemampuan," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili mereka, Hasnal Rezua Merican berkata, berdasarkan janji yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dan representasi berulang kali, terdapat asas undang-undang untuk mencabar Kerajaan Negeri kerana telah membuat pengharapan yang sah kepada rakyat Selangor bahawa mereka berhak mendapat air percuma.

“Kita akan mulakan tindakan undang-undang untuk memaksa Kerajaan Negeri sama ada memberikan air percuma atau pampasan kepada penduduk dalam satu jumlah yang dirasakan munasabah bagi menggantikan air percuma yang tidak boleh dilaksanakan," katanya.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred memaklumkan, pemberian air percuma hanya layak diberikan kepada penghuni yang mendiami pangsapuri dikategorikan dalam kod 10.

"Penghuni pangsapuri hanya diberi air percuma selepas proses migrasi ke meter individu iaitu ke kod 10," katanya kepada Sinar Harian.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan ketika dihubungi berkata, seluruh rakyat Selangor berhak merasai segala nikmat daripada janji-janji yang ditabur oleh pakatan pembangkang semasa pilihan raya umum yang lalu.

"Tiada istilah pilih bulu atau pilih kasih dalam pemberian air percuma. Kalau cuma tahu berjanji tetapi tidak tahu untuk menepatinya, lebih baik jangan cuba untuk berjanji," katanya.


Kami Menuntut Hak Air Percuma ...... 1 Rumah = RM570.00


Air Percuma- Kenapa Penghuni Flat/Pangsapuri & Kondominium Tidak Diberi?





Tawaran Kami Sekiranya Dipilih Di Selangor (2008)