Wednesday 19 September 2012

2,020 Penduduk Shah Alam Dan PJ Saman Kerajaan Negeri Tuntut Ganti Rugi RM1.1juta



Shah Alam, 19 September - Seramai 2,020 pengguna air dari kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi hampir RM1.1 juta terhadap kerajaan negeri Selangor atas kegagalan menerima subsidi air percuma di bawah Skim Air Percuma.

Selain kerajaan negeri sebagai defendan pertama, plaintif, Kamarulazman Kamarudin yang mewakili 2,019 pengguna air lain turut menamakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Mereka memfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9.45 pagi ini melalui Tetuan Kamarudin & Partners. 

Dalam masa yang sama, peguam, Kamarudin Ahmad berkata, saman tuntutan tersebut merupakan yang kumpulan kedua yang dilakukan selepas kumpulan pertama yang terdiri 711 pengguna air di negeri ini membuat tuntutan berhubung subsidi air percuma pada 11 September lalu.

Katanya, pihak plaintif yang terdiri daripada penduduk pangsapuri di kawasan Seksyen 7, Seksyen 18 serta Bukit Subang masing-masing di Shah Alam serta Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya.

"Pihak plaintif yang menghuni pangsapuri kos rendah sangat kecewa dengan dasar diskriminasi yang didakwa diamalkan oleh kerajaan negeri dalam isu pemberian air percuma. Kerajaan negeri telah mengutamakan penduduk rumah teres dan banglo dari golongan kelas memengah dan atasan dalam Skim air Percuma ini.

"Pihak plaintif adalah pengguna meter pukal. Manifesto pakatan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 telah menjanjikan bekalan air kegunaan domestik secara percuma sebanyak 20 meter padu pertama setiap bulan tanpa menyatakan syarat bahawa pengguna air mesti menggunakan meter individu," katanya.

Berdasarkan writ saman yang dikemukakan, plaintif membuat enam tuntutan yang antaranya meminta satu deklarasi bahawa Skim Air Percuma yang dijanjikan defendan pertama merangkumi semua pengguna air di Selangor tidak mengira sama ada mereka terdiri dari pengguna meter pukal mahupun individu.

Selain itu, plaintif turut menuntut satu perintah injunksi mandatori supaya defendan ketiga mengeluarkan bil-bil air dengan rebat atau potongan yang dijanjikan kepada plaintif-plaintif. 

Pada masa yang sama, saman tuntutan tersebut turut melibatkan gantirugi membabitkan jumlah sebanyak RM1.1 juta daripada defendan pertama atau defendan ketiga termasuk faedah pada kadar 4 peratus setahun dari tarikh saman tuntutan difailkan sehingga penyelesaian penuh. 

Jelasnya lagi, pihaknya menjangkakan lebih 2,000 pengguna air dari kawasan Kinrara, Puchong dan Sungai Long, Hulu Langat akan memfailkan saman tuntutan yang sama pada Rabu depan.

No comments:

Post a Comment